DUNGUN: Sepasang suami isteri dan seorang pemuda diberkas
bersama pelbagai jenis dadah yang bernilai hampir RM17,000 pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub
berkata ketiga-tiga mereka ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bandar Bukit Besi kira-kira pukul 9.30 pagi.
Katanya hasil pemeriksaan di bahagian ruang tamu,
pihaknya mengesan seorang lelaki berusia 31 tahun dan menjumpai serbuk putih
dipercayai syabu kira-kira 8.8 gram bersamanya.
"Pemeriksaan lanjut di bilik bahagian dapur rumah
tersebut kita menemui pasangan suami isteri berkenaan...kita juga terpaksa
memecahkan pintu bilik tersebut ekoran penghuni enggan membuka pintu," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut di dalam bilik yang dihuni
pasangan suami isteri itu, pihaknya menemui 22 botol
plastik berpenutup
kuning berisi dadah dipercayai heroin serta dadah jenis syabu kira-kira 1.67
gram yang disembunyikan di dalam sebuah beg.
Susulan penahanan itu pihaknya berjaya merampas dadah
jenis heroin bernilai RM 15,400 dan syabu kira-kira RM 1,100.
Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing ke
atas kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.
Ahmad Zailani berkata dua suspek lelaki berasal dari
Kelantan manakala wanita berkenaan yang berasal dari Dungun ditahan reman
sehingga 15 Jun ini untuk siasatan lanjut.
Katanya hasil semakan rekod juga mendapati kesemua
mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah
Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai
mati.
Sumber: KLIK DISINI