Kebelakangan
ini, isu buli semakin menjadi trending
di dalam media arus perdana dan media sosial. Bukan kerana ini musim orang
membuli, kerana gejala buli memang sedang berakar umbi, tetapi ini musim berita
buli menjadi mainstream. Kerana itu
media jadi rajin.
Kes kematian kadet tentera laut Allayarham
Zulfarhan Osman Zulkarnain masih lagi panas dibincangkan dalam pelbagai media.
Walaupun amat ‘dekat’ dengan kes ini, namun kami hanya berdiam diri. Malangnya
semakin hari ia kelihatan semakin rumit dan perlukan satu perkongsian yang
telus.
ANEH SEKALI bila kes mahasiswa dari UPNM
ini mendapat perhatian lebih dari Kementerian Kesihatan berbanding dari
Kementerian Pertahanan (MINDEF) atau dari pihak UPNM sendiri.
Sehingga hari ini tiada satu pun kenyataan rasmi yang menjelaskan duduk perkara sebenar
dalam kes ini dari pihak MINDEF atau UPNM selain daripada ucapan takziah dan
nasihat YB Menteri Pertahanan yang berjanji tidak akan melindungi semua pesalah
terlibat. Selain itu ada seorang bekas pensyarah UPNM yang menyatakan
sebenarnya kes buli seperti ini adalah perkara biasa di UPNM, namun selama ini
beritanya tidak ‘terlepas keluar’. Beberapa rakan UPNM yang kami temui juga
turut ‘membenarkan’ kenyataan itu.
SATU PENGANIAYAAN SEPERTI MAHU
DIGANTI DENGAN PENGANIAYAAN LAIN
Tidak semena-mena, YB Menteri
Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam pula
seperti bangkit menjadi hero yang tidak terjangka. Beliau menyelar
tindakan seorang doktor dari klinik swasta di Bangi sebagai telah melanggar
‘Standard Operation Procedure’ (SOP) dalam bidang perubatannya. Beliau mengatakan bahawa
doktor itu sepatutnya melaporkan kepada pihak polis tentang kecederaan yang
mempunyai unsur jenayah.
PERDIM (Pertubuhan
Doktor-doktor Islam Malaysia) menyatakan kekesalan mereka terhadap menteri yang
membuat kenyataan umum untuk memanggil doktor yang dikatakan telah melanggar
SOP.
Sementara itu pihak MMA
(Persatuan Doktor Malaysia) pula berkata setiap doktor tertakluk kepada akta
yang ditetapkan, khasnya tentang kerahsiaan pesakit. Tetapi apabila ditanya
wartawan mengapa doktor terbabit kekal berdiam dan tidak mahu mengeluarkan
apa-apa kenyataan? lalu dijawab menteri, "Mungkin kerana doktor itu
takut akan ditangkap".
Sehingga ke hari ini,
kenyataan menteri itu masih kekal tanpa tindakan. Doktor ini masih belum
dipanggil lagi oleh sesiapa pun dari KKM. Kerana itu kami lihat aneh sekali
kenyataan seorang menteri. Perkara belum dibincangkan, siasatan dalaman belum
berjalan, tetapi Pak Menteri dah keluarkan kenyataan?
Adakah menteri yang juga
seorang doktor ini tidak mengetahui ikrar dan etika seorang doktor yang
tertakluk untuk merahsiakan segala informasi pesakitnya? Atau apa sebenarnya
motif beliau yang memberi jawapan seolah-olah doktor ini ketakutan seperti
telah melakukan satu kesalahan?
LALU APAKAH
YANG SEBENARNYA BERLAKU?
Untuk pengetahuan semua,
klinik yang sama juga merupakan klinik yang telah menaja segala urusan
perubatan dan kesihatan 250 orang Warga Prihatin semenjak 2 tahun yang lalu.
Bukan RPWP sahaja, malah ada banyak lagi rumah kebajikan lain yang menerima
khidmat percuma dari beliau. Kami kenal sangat dengan peribadi dermawan dan
kesukarelawan doktor ini.
Selama mengenali beliau,
doktor ini adalah antara yang paling teliti dalam perawatannya dan amat santun
dalam bicaranya. Peralatannya boleh dikatakan antara yang terkehadapan dan
cukup lengkap. Tidak mustahil sehingga ke hari ini pelbagai sokongan diberikan
kepada klinik terbabit terutamanya yang mengenali hati budi mereka. Justeru,
tentulah agak mustahil beliau akan tergamak melindungi sebarang kes jenayah
dari pesakitnya yang teraniaya jika beliau tahu itu yang sebenarnya berlaku.
Dalam perbualan tidak rasmi
semasa kami bersama-sama menyerahkan BANTUAN HARI RAYA melalui PROJEK PELANGI,
doktor ini nyatakan bahawa kecederaan mangsa buli itu bukan seperti yang
digambarkan oleh media di mana seolah-olah di seluruh badan mangsa mempunyai
‘kesan berbentuk’ tapak seterika.
Masakan kes buli yang sungguh
professional, yang melibatkan hampir satu ‘batch’ pelajar ini meninggalkan
jejak buli dengan biratan pukulan dan kesan 'tapak sterika'? Pembuli
‘terpelajar’ ini tidak sebodoh itu untuk membiarkan doktor ‘tahu’ apa
sebenarnya yang berlaku.
Menjadi SOP seorang doktor
untuk menyelidik punca (history) kecederaan. Malangnya mangsa dan
rakan-rakannya mendakwa ia berlaku disebabkan kemalangan semasa dalam latihan
ketenteraan yang melibatkan bahan letupan lima hari sebelum itu.
Bukan itu sahaja, kawan-kawan
mangsa memperkenalkan diri sebagai Pegawai Tentera Di Raja Malaysia dari Port
Dickson. Mereka menyatakan telah ada rawatan dibuat di premis kesihatan di Port
Dicskon. Menilai pada kesan, memang dakwaan itu boleh dipercayai kerana ia
kelihatan seperti kesan terkena wap panas dan ada kesan dirawat menggunakan
antiseptik. Rupanya itu dikatakan sengaja dilakukan oleh ‘pembuli’ bagi
menutupi kesan lebam akibat pukulan ke atas tubuh mangsa sebelumnya.
Semasa doktor arahkan agar
kes ini DIRUJUK SEGERA ke hospital menggunakan ambulan, mangsa dan rakannya
enggan kerana khuatir akan ada laporan kecuaian yang berlaku di dalam praktis
Angkatan Tentera. Katanya ini boleh menyebabkan reputasi ATM tercalar. Sebagai
seorang yang menghormati ATM lalu apalagi yang boleh beliau lakukan jika itu
kehendak pesakit?
Dengan persetujuan mangsa,
mereka meminta doktor untuk membuat rawatan awal berupa ‘dressing’ dan
‘bandage’ sebelum dirujuk ke hospital dengan alasan untuk memudahkan pergerakan
ke hospital. Tiada isu untuk rawatan susulan kerana mangsa sudah dirujuk ke
hospital!.
MALANGNYA, pembuli ini bukan
membawa mangsa ke hospital seperti yang diarahkan, tetapi ‘menyimpan’ mangsa di
rumah sebelum datang kali kedua dengan lakonan yang sama untuk mendapatkan
rawatan.
Tahukah anda betapa kesalnya
doktor ini setelah tahu cerita sebenar? Beliau kesal kerana kecederaan itu
sebenarnya mudah dirawat. Tanpa mengira kos yang ditanggung, beliau gunakan
kaedah dan bahan rawatan terbaik untuk mangsa. Seorang murobbi RPWP pernah
terbakar apabila hose gas pecah dan menerima rawatan yang serupa. Daripada
jangkaan tempoh sembuh sekitar 7 hari, beliau sudah boleh bekerja semula
selepas 3 hari. Begitu berkesannya kaedah rawatan beliau untuk kes sebegini.
Lebih menarik lagi, atas
dasar simpati, doktor ini terima sahaja bayaran seadanya dengan diskaun lebih
dari 75% apabila kesemua mereka mengatakan tidak cukup wang. Ini benar-benar
"seperti menolong anjing tersepit" jadinya.
Ternyata doktor ini telah
ditipu oleh para pembuli. Tidak dinafikan juga kemungkinan adanya elemen
paksaan terhadap mangsa oleh para pembulinya. Justeru apa untungnya untuk
doktor ini melindungi kes jenayah jika beliau tahu cerita sebenar? Kerana wang?
pangkat?
Semasa kami bertemubual, doktor
terbabit baru sahaja selesai beri keterangan kepada pihak polis. Beliau telah
memberikan segala keterangan sebagai seorang doktor secara beretika, hanya
kepada pihak berkuasa sahaja. Bukan menulisnya di dalam Facebook, instagram,
twitter atau kepada pihak media.
Salah satu dari sesi temubual
pihak polis dilakukan di hadapan para suspek. Sewaktu diberi peluang berbicara
dengan suspek utama, doktor itu hanya katakan padanya, “Kau tipu aku ya?” lalu
suspek utama terus tunduk dan menangis. Secepat itu pihak polis sudah faham apa
yang sebenarnya berlaku. Inilah kebijaksanaan doktor yang tidak mahu ‘cakap
banyak’. Kerana itu juga beliau enggan bercakap dengan para wartawan yang
bertunggu tangga di depan kliniknya kerana dikhuatiri akan lebih menyulitkan lagi
kerja pihak berkuasa.
Itulah hal sebenarnya. Semua
itu ialah satu penipuan yang licik sehingga KELENTONG PEMBULI ini tidak
meragukan sang doktor sama sekali. Mangsa juga boleh ‘berjalan sendiri’ ketika
melangkah masuk ke klinik walaupun dalam keadaan 80% badannya mengalami ‘3rd
degree burn’.
KESIMPULAN
Ada banyak persoalan yang
timbul dalam pemikiran umum seperti kami. Kami yakin, khalayak pembaca semuapun
mempunyai persoalan yang sama.
1. Mengapa UPNM kekal senyap
tanpa sebarang UPDATE?
2. Mengapa KKM pula yang
bangkit jadi hero?
3. Kenapa media menumpu
kepada para doktor untuk setiap kes 'medicolegal' yang melibatkan pegawai
perubatan? Bukankah mereka tahu bahawa doktor tidak dibenarkan bercakap atau
membuat kenyataan atas etika dan sumpah profesional mereka sebagai doktor yang
menjaga kerahsian pesakit? Tidakkah itu seolah-olah menyuruh orang bercakap
dengan mulut yang ditampal plaster?
4. Bagaimana seketat kawalan
ketenteraan di UPNM masih lagi boleh terlepas pandang terhadap kes melibatkan
pembuli yang begitu ramai dan kecederaan parah sebegitu? Di mana peranan 'roll
call & head count' selama mangsa 'absent'?
5. Seramai 36 orang suspek
yang ditahan, tetapi mengapa hanya 6 orang sahaja yang didakwa?
6. Mungkinkah benar dakwaan
mangsa bahawa kemalangan itu dari kecuaian semasa latihan ketenteraan?
7. Mungkinkah 6 orang itu
hanya kambing hitam sahaja?
8. Mungkinkah 6 orang ini
akan dilepaskan juga secara perundangan dan secara senyap nantinya?
9. Apakah yang sebenarnya
berlaku apabila menteri KKM berusaha mengalihkan drama dari UPNM ini kepada KKM
secara bersungguh-sungguh? Adakah untuk menjadi hero? Ataupun ada agenda khusus
untuk melindungi sesuatu?
10. Menurut pertuduhan yang
dibacakan, penderaan maut ini berlaku sekitar 4.45-5.45 pagi 22 Mei 2017.
Mangsa hanya dibawa berjumpa doktor pada 27 Mei. Persoalannya, mengapa doktor
yang bertemu mangsa sekitar 1-2 jam sahaja yang dipersalahkan? Di mana lagi
saksi yang terbabit selama 6 hari sebelum itu?
Oleh itu kami menyeru supaya
kes ini tidak di’tunggang’ oleh mana-mana pihak yang berkepentingan politik
atau peribadi, sehingga menindas orang-orang yang tidak bersalah.
Biarkanlah pihak polis sahaja
yang membuat siasatan secara telus dan mahkamah membuat keputusan tentang kes
penganiayaan ini. Janganlah ada campurtangan pihak lain yang boleh membawa
kepada suatu ‘penganiayaan baru’ pula.
Sesungguhnya, orang yang
pemurah dan suka bersedekah adalah orang yang bersih hatinya dan sentiasa
berusaha membersihkan dirinya. Golongan ini tidak sekali-kali akan terpancing
untuk bersubahat dengan jenayah mahupun pecah amanah. Kami menyaksikan sifat
murni itu ada pada doktor ini.
Mahu katakan RPWP 'bias'
silakan. Namun apa yang kami tulis adalah satu kebenaran untuk menafikan satu
'BIAS' atau fitnah yang telah lebih dahulu 'tercipta' sebelum ianya lebih jauh
tersebar merata-rata.
Sesungguhnya “doa orang yang
teraniaya dan doa anak yatim adalah antara doa yang segera diterima”. Kami
berdoa agar Allah melindungi doktor ini dari fitnah liar oleh pihak-pihak yang
berkepentingan diri.
Allahumma Amiin,
WARGA PRIHATIN
WARGA PRIHATIN
Sumber: KLIK DISINI