DUNGUN – Misteri kehilangan seorang lelaki berbangsa Cina yang masuk ke hutan untuk aktiviti riadah sejak seminggu lalu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan separuh reput, di tengah hutan, dekat sini, pagi semalam.
Mangsa dikenali sebagai Nian Hoi Chung, dipercayai masuk ke hutan Hulu Kelemin sejak 17 Ogos lalu sebelum dia dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur.
Kehilangan Nian, seorang eksekutif periklanan sambilan di syarikat swasta di Kuala Lumpur disedari rakannya, Lim Siang Hui, 32, selepas mangsa gagal dihubungi. Menurut Siang Hui yang ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, kali terakhir dia menghubungi mangsa pada 17 Ogos lalu sebelum mangsa gagal dikesan tiga hari kemudian.
Siang Hui berkata, mangsa sepatutnya pulang semula ke Kuala Lumpur seminggu selepas itu, namun dia terus menghilangkan diri selepas memaklumkan kepada rakannya itu bahawa dia akan masuk hutan untuk aktiviti perkhemahan.