ALOR SETAR - Kerajaan Negeri akur pada arahan Polis Bukit Aman apabila diminta mengadakan program pidato kemasyarakatan secara tertutup berikutan menampilkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, program yang dirancang diadakan di pentas terbuka di pekarangan Stadium Darul Aman terpaksa diubah ke dalam stadium atas arahan baru yang dikeluarkan itu.
“Saya akur pada arahan itu kerana tidak mahu adanya insiden tidak diingini berlaku. Mulanya pihak polis membenarkan kita adakan di pentas terbuka, namun di saat akhir atas faktor keselamatan, ia diubah ke dalam stadium,” katanya pada sidang media, selepas merasmikan Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera, malam semalam.