Ahad, 13 Mac 2011

Kerajaan Negeri akur arahan polis

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri akur pada arahan Polis Bukit Aman apabila diminta mengadakan program pidato kemasyarakatan secara tertutup berikutan menampilkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR). 

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, program yang dirancang diadakan di pentas terbuka di pekarangan Stadium Darul Aman terpaksa diubah ke dalam stadium atas arahan baru yang dikeluarkan itu. 

“Saya akur pada arahan itu kerana tidak mahu adanya insiden tidak diingini berlaku. Mulanya pihak polis membenarkan kita adakan di pentas terbuka, namun di saat akhir atas faktor keselamatan, ia diubah ke dalam stadium,” katanya pada sidang media, selepas merasmikan Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera, malam semalam. 
Menurutnya, pidato kemasyarakatan malam Ahad (13 Mac) ini menampilkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. 

Manakala pada malam Isnin (14 Mac), menampilkan Exco Kerajaan Negeri Kedah, Abdul Ghani Ahmad; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selain Azizan. 

Azizan berkata, perubahan itu sedikit pun tidak menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya memberi lebih keselesaan kerana stadium berkenaan mampu memuatkan 35,000 orang. 

Mengulas mengenai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa Kerajaan Negeri mempolitikkan penganjuran sambutan Kedah Sejahtera, Azizan berkata, sedikit sebanyak penganjuran program bawah Kerajaan Negeri tidak dapat lari daripada pengaruh politik kerana kerajaan yang memerintah adalah parti politik. 

"Selain untuk menghargai rakyat, sebab politik jugalah kita dapat perintah Kedah," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...