Ahad, 13 Mac 2011

Samun untuk modal judi

BUKIT BERUANG - Sekumpulan penjenayah yang dikenali sebagai Geng Ah Nga sanggup berpura-bura berminat menyewa premis yang diiklan dalam akhbar sebelum menyamun pemiliknya semata-mata untuk mendapatkan modal berjudi. 

Tiga daripada ahli kumpulan tersebut bagaimanapun berjaya diberkas sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah ditepi jalan Lebuh AMJ, 17 Februari lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kesemua suspek berumur antara 44 dan 51 tahun itu ditangkap kira-kira 12.05 pagi. 
“Ketika tangkapan, polis turut menemui beberapa barang kes yang dipercayai digunakan dalam aktiviti samun termasuk dua buah kereta, sebilah parang, satu cota, seikat tali, segulung pita perekat, empat telefon bimbit, tiga utas jam tangan, dua utas rantai leher emas dan jed hijau serta beberapa dokumen. 

“Dengan tertangkapnya tiga suspek ini, polis percaya dapat menyelesaikan 50 kes samun berkumpulan di negeri ini selain di Perak dan Johor dan mereka kini ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam. 

Sehubungan itu, Raja Shahrom berkata, tiga lelaki berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an turut dikehendaki polis bagi membantu menyelesaikan siasatan kes. 

“Lelaki berkenaan Yong Ah Kong atau yang dikenali sebagai Ah Kong dan Pak Tiew Liau, manakala identiti seorang lagi suspek masih belum dikenal pasti. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai suspek diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Poh di talian 019-7778228,” katanya. 

Menurutnya, kumpulan yang turut aktif melakukan samun di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor sejak lima tahun lalu akan berpura-pura menunjukkan minat untuk menyewa premis yang diiklankan sebelum bertindak menyamun pemiliknya. 

“Mereka akan menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan premis yang ingin disewakan sebelum minta untuk berjumpa dengan pemilik premis berkenaan dan kemudian bertindak menyamun mangsa. Hasil samun, dipercayai digunakan mereka untuk aktiviti perjudian,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...