Ahad, 13 Mac 2011

Geng Muhibah tewas

KLUANG - Polis berjaya melumpuhkan kegiatan samun melibatkan premis pengurup wang di sekitar daerah ini dengan tertangkap semua ahli Geng Muhibah. 

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, sekurang-kurangnya tujuh kes melibatkan kumpulan yang aktif sejak setahun lalu itu dapat diselesaikan. 

Menurutnya, pada peringkat awalnya, polis menahan tiga ahli geng terbabit terbabit di sebuah rumah di Kulaijaya pada pertengahan bulan lalu. 
“Susulan daripada kejayaan pertama terbabit, polis kemudiannya menjejaki saki baki ahli kumpulan berkenaan yang dipercayai masih berada sekitar daerah ini. 

“Berdasarkan maklumat dan siasatan, polis menyerbu sebuah kediaman di Simpang Renggam di sini, lima hari selepas penahanan pertama terbabit,” katanya ketika sidang media diadakan. 

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arsyad. 

Zulkefly berkata, dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki dan pemeriksaan di rumah itu menemui sepucuk pistol jenis Revolver dan lima butir peluru hidup jenis ‘38 dipercayai digunakan kumpulan berkenaan untuk melakukan jenayah. 

Difahamkan, kesemua individu yang ditahan adalah warga tempatan dan berusia di antara 25 hingga 41 tahun, malah ada antara mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau. 

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...