Ahad, 13 Mac 2011

Ramai remaja tunggang motosikal tanpa lesen


GUAL TINGGI - Ibu bapa memainkan peranan penting mendidik anak-anak supaya mematuhi undang-undang jalan raya kerana ramai membiarkan anak-anak di bawah umur menunggang motosikal tanpa mempunyai lesen sah. 

Seorang pengguna jalan raya, Abdul Rahim Omar, 45, berkata, dia lihat ramai pelajar sekolah menunggang motosikal walaupun ada di antaranya masih tidak cukup umur. 

“Keadaan ini menjadi senario ‘biasa’ apatah lagi di kawasan kampung yang dianggap kecil dan ibu bapa sendiri pula yang menyuruh anak ke kedai atau sebagainya dengan menunggang motosikal walaupun tidak mempunyai lesen. 

“Lebih malang lagi, ada di antara mereka tidak memakai topi keledar dan menunggang motosikal secara berbahaya dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. 

Noraleeza Abdul Manaf, 40, berkata, masalah itu perlu diatasi bersama kerana sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, ia dianggap satu masalah yang serius dan bukan lagi kebiasaan yang tidak pernah dipedulikan. 

“Apabila kita melihat ada mereka yang menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar, pastinya kita akan membiarkan sahaja seolah-olah bersetuju dengan keadaan demikian,” katanya. 

Katanya, pendidikan mengenai undang-undang sebenarnya perlu bermula daripada rumah. 

Ibu bapa diingatkan agar mengawasi pergerakan anak dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...