Ahad, 13 Mac 2011

Jadi sarang kegiatan jenayah

TAMAN DAYA – Perasaan bimbang menghantui kira-kira 2,000 penduduk yang tinggal berhampiran kawasan lapang di Jalan Bertam 13, di sini, apabila lokasi terbabit dipenuhi lalang dan semak samun berikutan tiada kerja pembersihan dilakukan. 

Kawasan lapang yang dikhuatiri menjadi sarang kegiatan jenayah itu didakwa hanya dibersihkan PBT ketika operasi menghapuskan denggi pada September tahun lalu. 

Pesara tentera, Alias Mohamad, 65, berkata, kawasan semak itu mendedahkan penduduk kepada risiko bahaya berikutan persekitarannya gelap kerana tiada lampu jalan, serta kebimbangan menjadi tempat persembunyian penjenayah. 
“Jawatankuasa penduduk kerap mengadu kepada PBT dan meminta mereka melakukan kerja pembersihan khususnya melibatkan belukar serta memotong dahan pokok yang tidak berdaun, namun usaha kami dikecewakan dengan pelbagai alasan tidak munasabah. 

“Menjadi satu ancaman penduduk apabila pernah menjumpai barangan seperti dompet, beg tangan yang dipercayai dibuang peragut selepas sesuatu kerja pembersihan dilakukan kawasan lapang dipenuhi belukar ini,” katanya. 

Alias berkata, penduduk amat berharap kawasan terbabit dapat dimanfaat untuk kegunaan penduduk kerana peniaga runcit bersebelahan tanah lapang itu mendakwa perniagaan masing-masing tidak berupaya berkembang pesat berikutan terlindung dengan belukar. 

“Peniaga kedai runcit di sini menerima kesan apabila perniagaan mereka seperti ‘hidup segan mati tak mahu’ berikutan kedudukan kawasan lapang yang terbiar,” katanya. 

Peniaga ayam, Ahmad Idris, 46, berkata, penduduk bukan sahaja berdepan masalah penularan denggi, tetapi sering terserempak lelaki bermotosikal berlegar-legar di kawasan perumahan sekitar awal pagi. 

“Saya keluar dari rumah sekitar jam 4 pagi untuk berniaga di Pasar Awam Larkin terpaksa berhati-hati kerana berasa bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya. 

Justeru, katanya, PBT perlu mengambil langkah proaktif membersihkan semak samun di kawasan lapang terbabit seterusnya menyelenggara dahan pokok mati demi kesejahteraan dan keselamatan orang awam. 

Dalam pertemuan sama, Ahmad turut meminta PBT supaya membanteras iklan pinjaman haram yang ditampal pada papan tanda arah jalan. 

“Hampir keseluruhan papan tanda nama di sekitar bandar raya ini termasuk taman perumahan ini ditampal iklan tersebut sehingga memberi persepsi negatif kepada pengunjung luar khususnya warga Singapura,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...