Ahad, 13 Mac 2011

Geng Halim kecundang dalam serbuan

BUKIT BERUANG - Polis berjaya menangkap enam ahli kumpulan samun dan ragut yang dikenali sebagai Geng Halim dalam serbuan berasingan, di negeri ini baru-baru ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, dua daripadanya termasuk seorang wanita ditahan di sebuah rumah di Seberang Gajah, Bukit Rambai, dekat sini kira-kira jam 10.30 malam, 4 Mac lalu. 

“Penahanan itu membawa kepada penangkapan empat suspek di tiga serbuan berasingan, manakala wanita yang ditahan itu dibebaskan. 

“Suspek berumur 20 hingga 30 tahun termasuknya dikenali sebagai Halim berusia 28 tahun disyaki terlibat kes samun salun, stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam dan ragut di sekitar negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam. 
Raja Shahrom berkata, ketika serbuan, polis merampas sebuah motosikal curi, dua buah telefon bimbit, sebilah pisau pemotong daging, sebilah pisau lipat, dua paket serbuk disyaki dadah, 28 gulung wang kertas RM1 satu alat pelekat plastik. 

“Dengan tertangkapnya ahli kumpulan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes samun dan ragut di negeri ini. 

“Malah, tiada laporan samun kedai 24 jam atau stesen petrol diterima polis sejak penangkapan kesemua suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak Januari lalu,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...