SAUJANA UTAMA – Penduduk di Saujana Putra dihantui kebimbangan apabila kejadian kes pecah rumah di kawasan penempatan mereka semakin meningkat.
Mangsa, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, kejadian tersebut kerap berlaku dan setiap bulan pasti ada kes pecah rumah. Baru-baru ini sahaja sebanyak 13 kes pecah rumah berlaku pada hari yang sama.
Menurutnya, ia biasa berlaku sekitar jam 2.30 pagi hingga 4.30 pagi sewaktu penduduk sedang tidur di rumah.
“Semasa rumah saya dipecah masuk, pencuri itu masuk ikut pintu belakang rumah dan berjaya mencuri dua komputer riba, kamera digital dan dianggarkan kerugian dialami sebanyak RM15,000,” katanya.
Salah seorang lagi mangsa, Shah Bina Ahmad berkata, kejadian menimpanya berlaku pada awal pagi dan antara barang diambil pencuri ialah televisyen plasma, komputer riba dan kipas.