SAUJANA UTAMA – Penduduk di Saujana Putra dihantui kebimbangan apabila kejadian kes pecah rumah di kawasan penempatan mereka semakin meningkat.
Mangsa, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, kejadian tersebut kerap berlaku dan setiap bulan pasti ada kes pecah rumah. Baru-baru ini sahaja sebanyak 13 kes pecah rumah berlaku pada hari yang sama.
Menurutnya, ia biasa berlaku sekitar jam 2.30 pagi hingga 4.30 pagi sewaktu penduduk sedang tidur di rumah.
“Semasa rumah saya dipecah masuk, pencuri itu masuk ikut pintu belakang rumah dan berjaya mencuri dua komputer riba, kamera digital dan dianggarkan kerugian dialami sebanyak RM15,000,” katanya.
Salah seorang lagi mangsa, Shah Bina Ahmad berkata, kejadian menimpanya berlaku pada awal pagi dan antara barang diambil pencuri ialah televisyen plasma, komputer riba dan kipas.
“Saya tidak menyedari rumah dimasuki orang dan pada keesokan paginya, saya dapati pagar belakang rumah sudah pun terbuka dan barang-barang rumah sudah tiada.
“Laporan polis sudah di buat, apa yang kita harapkan adanya kekerapan pemantauan dan rondaan polis di sini,” katanya.
Wakil penduduk, Abdul Rahim Abdullah berkata, ada juga rumah dimasuki penjenayah sebanyak dua kali. Lebih kurang dua minggu lalu, ada lima cubaan kes pecah rumah tetapi hanya satu rumah berjaya dimasuki penjenayah.
“Penduduk di sini lebih kurang 20,000 hingga 30,000 orang dan kita mengambil inisiatif menyewa pengawal keselamatan di sini pada waktu siang.
“Sebelum ini, kes pecah rumah berlaku pada waktu siang dan sebab itu kita minta pihak keselamatan mengawal pada waktu siang sahaja,” katanya.
Menurutnya, baru-baru ini kes pecah rumah berlaku pada waktu tengah malam dan awal pagi menyebabkan penduduk menjadi semakin risau.
“Saya harap pihak berkuasa mengadakan pemantauan lebih kerap bagi membendung jenayah ini,” katanya.
S:ementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Zulkifli Jonit berkata, pihaknya ada menerima laporan tersebut.
“Bagaimanapun, polis sedang menyiasat dan akan bekerjasama dengan penduduk untuk membendung jenayah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.