KULIM - Usaha untuk menahan tiga remaja perempuan warganegara China yang terlibat dalam beberapa kes penipuan dan pukau melibatkan kerugian sehingga ribuan ringgit menemui kegagalan apabila mereka tidak hadir untuk mengambil wang dari salah seorang mangsa di Pasar Kulim pagi kelmarin.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, ketiga suspek itu sering menjalankan aktiviti berkenaan di sekitar Kulim dan sehingga kini usaha masih diteruskan untuk merangkap mereka.
“Terkini suspek berjumpa dengan seorang warga emas berusia 60-an dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai dan barang kemas yang ada kepada mereka. Mangsa ini seakan dipukau dan balik ke rumah untuk mengambil wang. Mujurlah ada ahli PPKM yang mengenali mangsa dan menasihatinya.
“PPKM merancang menahan suspek dengan menggunakan warga emas ini sebagai umpan, tetapi malangnya suspek terlibat tidak datang semula ke tempat yang dijanjikan. Sekiranya suspek berjaya ditahan, PPKM berjaya membantu polis menyelesaikan banyak kes penipuan yang dilakukan mereka,” katanya.
Menurutnya, selain kes penipuan, beberapa kes lain seperti kecurian motosikal dan pecah rumah masih berlaku.
Sehingga kini katanya, PPKM mengenal pasti beberapa kawasan yang sering terlibat dalam kegiatan ini.
Eng Khim berkata, kebanyakan kes pecah rumah berlaku pada waktu subuh d imana ketika itu mangsa mungkin sedang tidur atau belum balik ke rumah kerana bekerja.
“Selain itu, kehilangan motosikal juga sering dilaporkan berlaku di sekitar kawasan membeli belah dan terkini kawasan masjid. Ini menunjukkan kumpulan atau individu terlibat bukan sahaja melakukan kes jenayah curi motosikal di kawasan terbuka malah di kawasan ibadat.
“Sepanjang musim cuti sekolah ini saya menasihatkan kepada semua penduduk di Kulim yang akan meninggalkan rumah untuk bercuti supaya memaklumkan pemergian mereka di mana-mana balai polis berdekatan, PPKM atau jiran. Ini adalah untuk memastikan rumah mereka tidak dimasuki pencuri,” katanya.