KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang juruelektrik yang didakwa menculik seorang kanak-kanak berusia tiga tahun untuk mendapatkan wang tebusan di Kuala Ibai, Kuala Terengganu lima tahun lalu, bakal menyebabkannya dihukum mati jika disabitkan kesalahan.
Wan Chee How, 30, berasal dari Selangor didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam setelah menjadi buruan polis sejak 2006.
Bagaimanapun, kecekapan polis telah membawa kepada penangkapannya pada 1 Mac lalu dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada jam 7.35 pagi.
Mengikut fakta kes, pada 22 Oktober 2006, kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah rumah di Taman Ibai Indah, Kampung Tok Adis, tertuduh yang juga seorang juruelektrik dituduh dengan niat hendak membuat tebusan dan menculik seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun.
Dia juga didapati mengurung kanak-kanak dengan salah dalam sebuah kereta dan menuntut wang tebusan sebanyak RM50,000.
Tertuduh didapati telah membuat kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa kepada hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Majistret Nor Azizah Yusof kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 28 April ini bagi membolehkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa raya Ooi Chooi Gaik. Tertuduh bagaimanapun tidak ditawarkan jaminan.