Khamis, 17 Mac 2011

Harga kabel tinggi di pasaran

AYER KEROH - Individu yang memberikan kerjasama sehingga tertangkapnya pencuri kabel Telekom Malaysia (TM) akan diberi penghargaan bagi menurunkan kadar jenayah berkenaan, yang mendatangkan kerugian besar kepada syarikat telekomunikasi terbabit. 

Pengurus Besar TM negeri, Rozlan Mohamed berkata, ini kerana tahun lalu sahaja TM cawangan Melaka kerugian RM500,000 akibat kecurian kabel, peningkatan 36 peratus berbanding 2009. 

Menurutnya, pertambahan jumlah kerugian itu disebabkan peningkatan nilai kabel berdasarkan indeks dunia yang mendadak iaitu daripada RM10 bagi setiap sekilogram pada 2009 kepada hampir RM35, tahun lalu. 
Malahan katanya, bagi tempoh antara Januari hingga Februari tahun ini saja, TM menerima laporan kerugian RM197,000 membabitkan kes kecurian kabel dan jumlah itu dikhuatiri meningkat lagi tahun ini sekiranya kegiatan berkenaan tidak dibendung secara serius. 

Rozlan mendedahkan sedemikian ketika ditemui pada majlis penghargaan kepada anggota TM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras jenayah kecurian kabel, kelmarin. 

Pada majlis itu, seramai tujuh kakitangan TM Melaka dan sembilan warga kerja polis negeri ini menerima sijil penghargaan daripada TM atas usaha mereka memberkas penjenayah kes curi kabel. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...