Khamis, 17 Mac 2011

Janda muda didenda

KUALA TERENGGANU - Seorang janda muda beranak dua didenda sebanyak RM4,500 setelah didapati bersalah atas dua pertuduhan dadah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam. 

Engku Nor Shahirah Engku Chik Abdullah, 26, yang berasal dari Kampung Panjang, Kuala Terengganu dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di atas dua pertuduhan terhadapnya. 

Dalam pertuduhan yang dibacakan Inspektor W Ravi, Engku Nor Shahirah telah ditangkap pada 6 September 2009 pada jam 3.30 pagi di sebuah hotel, bersama rakannya, Azihan Mohamad, 38. 
Bagi pertuduhan pertama, dia didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama, kerana memiliki 0.15 gram Methamphetamine. 

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki ganja seberat 0.43 gram. Dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan. 

Majistret Nor Azizah Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 dan lima bulan penjara jika gagal membayarnya bagi pertuduhan pertama, manakala denda sebanyak RM2,000 dan penjara lima bulan sekiranya gagal membayarnya bagi tuduhan kedua. 

Dia kemudiannya dibebaskan selepas ahli keluarganya membayar denda. 

Rakannya, Azihan yang berasal dari Kampung Seberang Bukit Tumboh tidak mengaku bersalah dan meminta peguamnya membuat representasi kepada Ketua Unit Pendakwaan untuk pertuduhan dikaji balik. 

Majistret kemudiannya menetapkan 14 April ini sebagai tarikh sebutan semula bagi Azihan. Kedua-dua mereka diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...