SURA GATE – Seorang bapa ternyata pendek akal apabila tergamak menggunakan wang hasil kerja menebar roti canai yang sepatutnya dibelanjakan untuk keperluan keluarga bagi membeli pil khayal.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu terbongkar setelah dia dicekup polis ketika menunggu bekalan berhampiran deretan premis perniagaan dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Suspek, 32, yang menyedari kehadiran polis berpakaian preman itu bagaimanapun dikatakan cuba meloloskan diri menyebabkan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan.
Hasil pemeriksaan, sebutir pil kemerahan disyaki Methapethamine ditemui dalam poket seluarnya yang menguatkan lagi dakwaan dia terbabit dengan kancah menyalahi undang-undang itu.
Suspek yang sudah lebih tiga tahun bekerja sebagai pembuat roti canai di kios makanan sebuah institusi pengajian tinggi awam berdekatan itu turut disahkan positif Methapethamine selepas menjalani ujian air kencing.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan suspek yang pernah ditahan polis kerana kesalahan dadah itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.