Ahad, 9 Jun 2013

Mayat berkain pelikat ditemui


Mayat berkain pelikat ditemui
KLANG - Mayat seorang lelaki warga asing yang hanya berkain pelikat ditemui di tapak pembuangan sisa binaan di Jalan Sungai Puloh, Batu 5 1/2, Taman Klang Utama, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Jani Ahmad berkata, orang awam yang menggunakan jalan tersebut untuk ke tempat kerja terkejut melihat mayat mangsa terbaring di tepi jalan sekitar jam 8.05 pagi semalam.

“Mangsa yang berusia sekitar 30-an itu disyaki berasal dari Myammar.

“Identiti sebenar mangsa masih belum diketahui memandangkan pihak polis tidak menemui dokumen pengenalan diri milik mangsa di lokasi,” katanya.

Jani berkata, pemeriksaan lanjut unit forensik terhadap mayat mangsa menemui kesan luka dan lebam di bahagian dahi belah kanan.

Menurutnya, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan hasil keseluruhan hanya akan diperoleh selepas proses bedah siasat dilakukan lewat petang nanti.

“Pemeriksaan di sekitar tempat kejadian tidak menemui sebarang peralatan atau senjata tajam.

“Polis juga tidak mengesan adanya bukti bahawa mangsa diserang sebaliknya mangsa dipercayai terjatuh di lokasi sama sebelum rebah dan maut di lokasi terbabit,” katanya.

Koperal Polis Dijatuhi Hukuman Penjara Dua Tahun, Denda RM10,000 Kerana Rasuah

JOHOR BARU: Seorang Koperal polis dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini Jumaat selepas didapati bersalah memberi rasuah tahun lepas.
Hakim, Mohd Nasir Nordin yang menjatuhi hukuman itu ke atas Rostam Omar, 45,membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh peguam tertuduh Hanif Hassan sehingga selesai proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Beliau mengarahkan agar tertuduh membayar denda sebelum 11 Jun dan memfailkan rayuan dalam tempoh tujuh hari dari sekarang.

Tahanan Warga Jepun Gantung Diri Dalam Lokap

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Jepun yang ditahan kerana menceroboh sebuah universiti dekat sini, ditemui mati tergantung di dalam lokap di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya awal hari Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata Nobuhiro Matsushita, 33, ditemui tergantung pada palang besi pintu lokap menggunakan bajunya kira-kira pukul 4 pagi.
Beliau berkata laporan bedah siasat yang dikeluarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya mendapati suspek mati akibat gantung diri dan tiada sebarang kecederaan atau luka pada anggota badannya.
"Siasatan awal polis juga mengesahkan tiada unsur jenayah yang mengakibatkan kematiannya," katanya pada sidang media di sini Sabtu.

Sabtu, 8 Jun 2013

Samseng silap orang

Gambar hiasan
Kuantan: Hanya kerana menggayakan fesyen rambut yang sama, seorang remaja cedera apabila dibelasah lima lelaki bersenjatakan pemukul besbol yang menyangka mangsa abangnya dalam kejadian di sebuah kedai makan di Teluk Chempedak, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia 18 tahun itu bernasib baik hanya cedera ringan apabila sempat memberitahu identitinya yang sebenar menyebabkan kelima-lima suspek itu berhenti memukulnya kerana menyedari tersilap sasaran.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama abangnya berusia 22 tahun dan dua lagi rakan mereka termasuk seorang gadis makan di sebuah restoran di pantai peranginan itu.

Putus jari kaki akibat ditetak


Gambar hiasan
MUAR - Seorang pekerja kafe siber di Jalan Bakri, dekat sini, nyaris maut apabila ditetak hingga putus ibu jari kaki kanan selepas diserang tiga lelaki bertopeng dalam kejadian pergaduhan 28 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, tiga penjenayah itu bersenjatakan dua besi buku lima dan dua pucuk pistol tiruan.

Menurutnya, mangsa yang berusia 17 tahun tidak bersekolah bersama dua lagi rakannya berusia 15 dan 20 tahun diserang secara mengejut di hadapan kafe siber itu kira-kira jam 1.45 pagi.

“Salah seorang suspek yang berusia 29 tahun sebelum itu bergelut dengan mangsa sebelum menetak sehingga putus ibu jari kaki mangsa berusia 17 tahun itu.

“Cubaan menyambung ibu jari kaki mangsa tidak berjaya kerana dilakukan enam jam selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.
Katanya, hasil daripada maklumat dan risikan, pihaknya telah berjaya menahan suspek berusia 29 tahun  di sebuah rumah di Bakri, kira-kira jam 7.30 pagi, semalam.

Katanya, turut dirampas semua senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut.

“Kita sedang menjejaki dua lagi suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan dan untuk mengenal pasti motif serangan.

“Suspek direman sehingga Isnin ini, melalui ujian air kencing didapati dia bebas dadah juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Sahadan berkata, bagi kes menetak ibu jari disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan suspek boleh dipenjara 20 tahun.

“Manakala kesalahan memiliki senjata buku lima disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Hakisan dan Senjata Bahaya yang boleh dipenjara selama tiga tahun.

“Sementara kesalahan memiliki senjata api tiruan pula disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dipenjarakan hingga 10 tahun dan tidak kurang tiga sebatan,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...