Isnin, 7 Mac 2011

7 ditahan bantu siasatan

TUMPAT - Polis menahan tujuh lelaki untuk membantu siasatan berhubung kes rogol melibatkan pelajar tingkatan dua dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sedar, dekat sini, awal pagi semalam. 

Semua lelaki terbabit yang berusia 17 hingga 25 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 14 tahun itu. 

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritenden Khalid Munap berkata, dua daripada lelaki terbabit dikatakan telah merogol mangsa secara bergilir-gilir di dalam sebuah bilik di rumah terbabit antara jam 1 hingga 2.30 pagi. 
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dibawa ke rumah terbabit oleh dua lelaki yang juga kawan kepada teman lelakinya. 

Katanya, mangsa telah keluar daripada rumahnya di Kampung Padang Tembesu, kira-kira jam 1 pagi, selepas diambil oleh teman lelakinya bersama dua lelaki terbabit. 

“Sebaik tiba di pertengahan jalan, teman lelaki mangsa yang berusia lingkungan 20-an dikatakan turun dari kenderaan itu. Mangsa kemudian dibawa oleh dua lelaki terbabit sebelum kedua-dua mereka bertindak merogol mangsa secara bergilir-gilir,” katanya. 

Beliau berkata, mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari tempat kejadian. 

Katanya, polis yang menerima panggilan telefon daripada mangsa kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan. 

Menurutnya, mangsa yang juga seorang pelajar di salah sebuah sekolah di Tumpat kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu. 

“Sebaik menerima laporan, kita menahan tujuh lelaki termasuk dua daripadanya yang disyaki merogol mangsa secara bergilir-gilir di rumah terbabit. Lima lagi suspek turut membantu siasatan kerana disyaki merogol mangsa sebelum ini,” katanya. 

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. 

Katanya, ketujuh-tujuh lelaki terbabit ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...