Isnin, 7 Mac 2011

Penyelesaian Kes Tertunggak Di Malaysia Berjaya, Kata Zaki

BANGKOK, 6 Mac (Bernama) -- Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi hari ini berkata 14 strategi yang digunakan badan kehakiman bagi menyelesaikan kes tertunggak dalam tempoh dua tahun lepas, berjaya menyaksikan pengurangan signifikan kes berkenaan.

Beliau berkata strategi yang digunakan ialah memahami masalah berkaitan dengan melakukan pemeriksaan secara fizikal serta melawat mahkamah, mengira stok dan menyusun fail, pemantauan oleh Hakim Besar dan hakim pengurus, penambahan bilangan hakim, sistem 'tracking', penubuhan mahkamah khas, sistem berkomputer dan menangani isu penangguhan.
Selain itu, strategi lain ialah mengadakan latihan kehakiman, memudahkan prosedur mahkamah, sistem mediasi, bersidang awal, buku panduan untuk hakim dan risalah untuk orang awam, selain penambahbaikan kecil terhadap kad kehadiran serta mempamerkan nama pendaftar yang bertugas di bahagian pendaftaran, katanya.

"Anda perlu mengetahui baki gula sebelum membeli yang baru. Begitu juga dengan kes tertunggak, kita perlu mengetahui jumlahnya dan di mana ia berada terlebih dahulu," katanya ketika bertemu kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Zaki berkata penyusunan fail turut memainkan peranan penting berikutan terdapat beberapa kes yang tidak dapat diselesaikan kerana failnya hilang, dan ini menyebabkan badan kehakiman mempertingkatkan sistem pemfailan.

Beliau berkata pemantauan oleh Hakim Besar terhadap pegawai bawahannya dalam melupuskan kes menerusi satu sistem 'tracking' berkomputer, berhasil mengawasi misi tersebut.

Badan kehakiman juga telah memperkenalkan mahkamah khas termasuk mahkamah baru seperti Mahkamah Komersial, Mahkamah Harta Intelek, Mahkamah Muamalat, Mahkamah Admiralti dan Mahkamah Keluarga bagi menangani kes berkaitan.

Zaki berkata selain itu, sistem berkomputer membabitkan e-filing, sistem pengurusan senarai menunggu (QMS), sistem pengurusan kes (CMS) dan transkripsi rakaman mahkamah (CRT) telah dilaksanakan.

"Hakim tidak perlu lagi menulis butiran prosiding kerana ia akan direkodkan dalam bentuk video yang membolehkan sesuatu kes itu dilupuskan lebih pantas," katanya.

Zaki berkata jumlah kes sivil di Mahkamah Tinggi, termasuk kes tertunggak, berjaya dikurangkan sebanyak 64 peratus sejak Disember tahun lepas.

Beliau berkata kes jenayah di Mahkamah Tinggi termasuk kes tertunggak, pula mencatat pengurangan sebanyak 22.3 peratus manakala bagi Mahkamah Sesyen, kadar penurunan ialah 46.5 peratus bagi kes sivil dan 11.9 peratus bagi kes jenayah.

Katanya berkata pengurangan di Mahkamah Majistret ialah sebanyak 57 peratus dan 55.9 peratus masing-masing bagi kes sivil dan kes jenayah.

Zaki berkata pelupusan kes pada masa sesuai wajar adalah penting untuk memberi keadilan kepada pihak yang terlibat dalam proses mahkamah.

Beliau juga berkata selain itu, peranan berkesan oleh peguam dan agensi penguat kuasa kerajaan turut menyumbang kepada kejayaan menyelesaikan kes tertunggak.

Zaki berkunjung ke kedutaan selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pentadbiran Persatuan Perundangan Asean (ALA) di Pattaya.

Bercakap kepada Bernama selepas itu, Zaki yang akan bersara September ini, berikrar akan meneruskan misi beliau untuk menyelesaikan sebanyak mungkin kes tertunggak sebelum meninggalkan jawatan Ketua Hakim Negara.

"Sasaran saya ialah enam bulan bagi pelupusan kes di Mahkamah Majistret, sembilan bulan untuk Mahkamah Sesyen dan 12 bulan bagi Mahkamah Tinggi," katanya.

Zaki yang mengambil alih pentadbiran badan kehakiman sejak November 2008, bagaimanapun meramalkan bahawa pelupusan kesemua kes tertunggak tidak mungkin dapat dicapai ketika beliau menjadi Ketua Hakim Negara, namun sejumlah besar daripadanya telah dapat diselesaikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...