KUALA TERENGGANU- “Aku nak pancung mung.” Itulah antara ayat ugutan seorang bapa ketika sedang ‘naik angin’ terhadap anak lelakinya dalam satu pertengkaran keluarga di kediaman mereka di Kampung Bukit Kubang Jambu, di sini, Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, bapa baran terbabit, 55, bukan sahaja mengugut, malah anaknya, 24, yang tidak bekerja turut mendakwa dipukul, diterajang, ditumbuk serta ditampar beberapa kali pada bahagian muka dan badan.
Sinar Harian difahamkan, punca warga emas itu bertindak demikian kerana terlalu marah kepada anak lelakinya yang didakwa telah mencuri komputer riba salah seorang adiknya yang masih bersekolah.
Takut dengan ugutan itu, anak lelakinya mengambil keputusan membuat laporan polis pada hari kejadian dan bapa warga emas itu ditangkap pagi semalam di rumahnya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner (ACP) Zamri Shamsuddin mengesahkan penangkapan itu dan kini kes berkenaan masih dalam siasatan.