RAUB – Semua lapisan masyarakat berperanan membasmi najis dadah agar tidak menular sekali gus merosakkan kehidupan generasi muda hari ini.
:Pengerusi Lembaga Pelawat Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Ruan, Abdullah Abu Bakar berkata, usaha pencegahan tidak seharusnya terletak kepada sebahagian pihak sahaja.
Menurutnya, bermula dari rumah, pendidikan atau pendedahan wajar dilaksanakan kepada anak-anak sejak awal usia lagi.
:“Ibu bapa berperanan mengingatkan anak-anak tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan membimbing mereka agar menghindari najis dadah termasuk menjaga batas pergaulan sesama rakan seusia.
“Pada masa sama, individu atau remaja itu sendiri perlu menguatkan jati diri agar tidak terjebak dengan najis dadah walaupun permulaan sekadar ingin mencuba sahaja,” katanya ketika ditemui di sini.
Abdullah berkata, masyarakat setempat juga perlu bersikap ambil peduli dan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku perkara berkaitan penyalahgunaan dadah.
Katanya, ibu bapa dan golongan dewasa juga perlu menunjukkan contoh yang baik agar tidak menjadi seperti ‘ketam mengajar anak berjalan lurus’.
“Situasi hari ini tidak sama seperti zaman dahulu yang amat mementingkan disiplin dan bimbingan pembentukan jati diri anak-anak.
“Ketika ini sebahagian penjaga bertindak memarahi semula anggota masyarakat yang menegur perbuatan anak-anak cenderung kepada gejala sosial dan keadaan ini akan memburukkan lagi masa depan anak-anak terlibat,” katanya.
Beliau berharap semua lapisan masyarakat memberikan sepenuh komitmen dalam membanteras gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah supaya komuniti berada dalam keadaan harmoni sejahtera.