Jumaat, 4 Mac 2011

Anggota ATM Tamat Perkhidmatan Ditawar Sertai Polis

TEMERLOH, 3 Mac (Bernama) -- Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang telah menamatkan perkhidmatan, akan ditawarkan untuk menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penyerapan jawatan ke dalam PDRM selepas tamat tempoh perkhidmatan selama 21 tahun itu merupakan satu usaha transformasi kerajaan dalam menjamin keselamatan negara dan kebajikan bekas tentera.

"Di bawah program transformasi, kita (ATM) telah menjalinkan hubungan dengan PDRM dengan mengadakan penyerapan jawatan selepas tamat tempoh perkhidmatan tentera terutama di kalangan lain-lain pangkat untuk berkhidmat dalam PDRM," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Menteri Pertahanan bersama veteran ATM dan keluarga di Dataran Ketumbit di sini.
Ahmad Zahid berkata setakat ini, seramai 400 bekas tentera memohon untuk menyertai PDRM.

Ahmad Zahid berkata program itu merupakan satu daripada lima bidang kerjasama membabitkan kedua-dua pasukan keselamatan negara.

Beliau berkata ATM-PDRM turut menjalin kerjasama melalui program kawalan sejak November tahun lepas dengan projek perintisnya bermula di 15 kawasan rondaan yang telah dikenal pasti.

Dua pusat latihan ATM juga digunakan untuk melatih rekrut polis serta mengadakan program bersama untuk memantapkan kerjasama itu, katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...