KUALA LUMPUR 2 Mac - Orang ramai meminta polis membenarkan saman tertunggak dibayar secara beransur-ansur bagi membolehkan pesalah lalu lintas, terutama golongan berpendapatan rendah melangsaikan kesemua saman mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, walaupun orang ramai gembira dengan pengumuman kerajaan melanjutkan tempoh bayaran saman berdiskaun selama 10 hari lagi, namun bagi mereka yang makan gaji, jumlah wang yang diperoleh setiap bulan adalah tetap dan tidak memungkinkan mereka membayar jumlah saman yang besar secara sekali gus.
Pekerja am, Khairul Hasan Abdullah Hasan, 35, berkata, bukan semua pesalah lalu lintas berupaya melunaskan saman kerana terdapat pelbagai faktor yang membuatkan mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk berbuat demikian.
"Kekurangan wang adalah masalah utama yang menghalang golongan berpendapatan rendah daripada membayar saman. Gaji yang rendah ditambah lagi bilangan ahli keluarga yang ramai untuk ditanggung membuatkan seseorang itu mengetepikan saman yang diterima.
"Kerajaan harus memikirkan beberapa kaedah lain selain saman berdiskaun untuk meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan ini seperti membenarkan bayaran secara beransur-ansur," katanya.
Seorang pelajar, Nurazlina Abdullah, 20, turut mencadangkan perkara yang sama kerana berasakan ia mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung pesalah yang tidak berkemampuan membayar saman.
"Sistem pembayaran secara beransur-ansur ini harus diguna pakai dalam sistem baru yang berkuat kuasa semalam kerana ia adalah satu cara untuk mendorong pesalah lalu lintas membayar saman.
"Lihat sahaja jumlah saman tertunggak yang masih belum dibayar. Bayangkan jika 17.3 juta saman itu habis dibayar, sudah tentu jutaan ringgit akan diraih kerajaan," katanya.
Pekerja swasta, L. Siva, 32, berkata, kerajaan harus mengkaji semula tempoh dua bulan yang diberikan untuk pemandu menjelaskan saman sebelum kes dibawa ke mahkamah kerana bukan semua pesalah berupaya melunaskan saman dalam tempoh itu.
"Saya bersetuju dengan kaedah saman berdiskaun tapi yang mungkin menjadi masalah ialah tempoh dua bulan yang diberi itu.
"Lebih baik sekiranya tempoh itu ditambah sebulan lagi supaya semua pihak berpuas hati dengan perkara ini selain dibenarkan membayar secara beransur-ansur," katanya.
Dalam pada itu pesara kerajaan, Yazid Mohamad, 64, berkata, tindakan menyenarai hitam harus dilakukan terhadap pesalah lalu lintas yang enggan membayar saman serta tidak berusaha untuk melunaskannya.
"Daripada apa yang kita boleh lihat beberapa hari yang lalu, ramai yang berusaha untuk menjelaskan saman mereka.
"Tempoh yang berakhir kelmarin menyebabkan ramai tidak berkesempatan melunaskan saman. Mereka harus diberi peluang untuk berbuat demikian," katanya.