FELDA KERTEH 5 – Seorang wanita sanggup mencari duit haram dengan menjadikan rumah peneroka milik suaminya sebagai port untuk membungkus ketum sebelum diedarkan kepada penagih sekitar.
Lebih mendukacitakan, wanita lewat 40-an yang juga isteri kepada bekas banduan itu turut menjadikan beberapa ahli keluarganya yang lain termasuk anak lelakinya sebagai tali barut perbuatan tidak bermoral itu.
Biarpun beberapa kali pernah diserbu polis, namun aktiviti haram itu tetap dilakukan. Malah, dia turut bersekongkol dengan anak lelakinya yang menjadikan bilik tidur utama sebagai tempat untuk memadu asmara bersama teman wanita yang berstatus janda anak satu.
Segala rahsia terbabit berjaya dibongkar hasil serbuan sepasukan polis diketuai Sub Inspektor Ismail Omar di sebuah rumah peneroka dekat sini kira-kira jam 8.30 pagi semalam.
Hasil pemeriksaan lanjut pula, 87 plastik berisi ketum ditemui di rumah terbabit. Manakala seorang remaja lelaki 20-an difahamkan anak kepada wanita lewat 40-an yang berstatus teruna itu bersama teman wanitanya difahamkan berstatus janda turut dicekup ketika berada dalam satu selimut di dalam bilik di rumah itu.
Hasil ujian air kencing mendapati pasangan terbabit positif dadah jenis Methapethamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain dikaitkan dengan kesalahan khalwat. Manakala isteri peneroka bersama seorang anak saudara dan seorang lagi yang ditahan dalam serbuan tersebut disiasat mengikut Seksyen 30 Akta Racun.
Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit.