KUALA TERENGGANU - Mengundang padah! Tindakan berani dua beradik membeli sebuah motosikal Ex-5 curi bernilai RM450 daripada kumpulan samseng jalanan membawa padah setelah diberkas oleh polis ketika sedang nyenyak tidur di kediaman mereka di kampung Pulau Duyong Kecil awal pagi, semalam.
Dua beradik itu yang masing-masing berumur 20 dan 24 tahun ditangkap polis dalam operasi khas “Lenjang” hasil maklumat risikan selama dua minggu oleh Pegawai Kanan Polis Unit Risikan Jenayah Bahagian (D4) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Husaini Amir Mohd Noor.
Turut ditemui di kediaman dua beradik itu satu set enjin motosikal jenis Ex-5 yang diubahsuai, kulit enjin serta beberapa komponen lain yang disorokkan di dalam plastik sampah berwarna hitam di bahagian bilik stor kediaman mereka.
Siasatan awal polis mendapati motosikal curi itu dibeli oleh adiknya, 20 yang juga seorang penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Jurusan Diploma Elektrik dengan menggunakan duit pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Manakala abangnya pula yang bekerja sebagai pengawal keselamatan perumahan berperanan meleraikan bahagian komponen enjin tersebut.
Selain itu, kedua-dua mereka turut mengaku bertindak mengetuk dan mengubah suai nombor pendaftaran enjin agar tidak dikesan dan mencampak rangka motosikal tersebut ke dalam sungai berhampiran kediaman mereka.
Kedua-dua beradik ini kini ditahan di lokap Balai Polis daerah Kuala Terengganu di bawah Seksyen 291 Kanun Keseksaan