PUTRAJAYA: Walaupun pesalah trafik diberikan diskaun dan tempoh bayaran saman dilanjutkan sehingga Khamis ini, hanya empat peratus atau 700,000 daripada kira-kira 17.3 juta saman dibayar setakat kelmarin.
Ini bermakna, sejak tempoh pemberian diskaun dilanjutkan selama 10 hari bermula Selasa lalu lalu, purata 117,000 saman dibayar sehari bagi enam hari pertama tempoh lanjutan diberikan.
Namun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memberi amaran tidak melanjutkan tempoh pembayaran dengan diskaun itu dan tindakan senarai hitam akan berkuat kuasa mulai Jumaat ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata masih ada 16.6 juta saman belum diselesaikan sehingga kelmarin walaupun kerajaan melanjutkan tempoh pemberian diskaun selepas mengambilkira masih ada yang mahu menjelaskan kompaun dan sudah ke balai polis tetapi tidak dapat berbuat demikian walaupun kaunter dibuka hingga lewat malam. “Jika benar-benar mahu membayar, mereka wajar mengambil peluang tempoh lanjutan yang diberikan. Kita berharap mereka segera berbuat demikian,” katanya.
Rabu lalu, Kabinet melanjutkan tempoh pemberian diskaun saman yang tamat 28 Februari lalu kepada Khamis ini bagi memberi peluang kepada pesalah menjelaskan saman selepas kerajaan menerima banyak rayuan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan orang ramai yang memiliki saman yang dikeluarkan sebelum 1 Disember lalu, berpeluang menikmati insentif 50 peratus diskaun dan jika gagal dijelaskan sehingga 28 Februari, nama mereka akan disenaraihitamkan.
Abu Seman berkata, kementerian dalam proses melaksanakan penyelarasan antara polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam beberapa aspek termasuk kompaun dan bayaran saman.
Beliau juga meminta pesalah trafik mengemukakan bukti jika mendakwa saman yang dikeluarkan tiada justifikasi untuk dikaji polis