SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen Shah Alam hari menjatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM60,000 terhadap seorang pegawai polis yang didapati bersalah atas enam pertuduhan membuat tuntutan penginapan palsu berjumlah RM1,300 pada tujuh tahun lepas.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda ke atas setiap enam pertuduhan mengikut Seksyen 11 © Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang dikenakan ke atas ASP Wan Nazli Wan Jaafar, 43.
Bagaimanapun, beliau mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak, manakala hukuman denda secara berasingan mengikut Seksyen 16 Akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Pada Jun 2007, Wan Nazli yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Trafik dituduh mengemukakan lima tuntutan penginapan hotel palsu kepada kerani kewangan, Bahagian Kewangan di IPD Klang, Rosliah Mohamed, antara 28 Februari 2004 dan 11 Mac 2004 berjumlah RM 1,100.
Beliau juga dituduh mengemukakan tuntutan penginapan hotel palsu berjumlah RM200 pada 29 Disember 2004 di tempat yang sama. – Bernama