KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki dipercayai rakyat Indonesia yang dilapor hilang selepas dihanyutkan air deras ketika melakukan kerja pembersihan di longkang besar berhampiran Kondo Tiara, Segambut petang semalam, ditemui hari ini.
Mayat lelaki itu ditemui terapung di Sungai Batu berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) iaitu kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian, pada pukul 12.30 tengah hari.
Lelaki itu adalah antara tiga orang, dipercayai rakyat Indonesia berusia dalam lingkungan 30-an yang dilapor hilang selepas dihanyutkan air deras secara tiba-tiba ketika melakukan kerja pembersihan di kawasan itu.
Ketua Balai Bomba Jinjang, Muhamad Puzi Ismail berkata, sehingga kini identiti lelaki itu belum dikenal pasti.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam itu, seorang pekerja wanita rakyat Indonesia yang sedang membuang sampah di longkang sama juga hampir dihanyutkan tetapi dia berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang ternampak kejadian itu.
Muhamad Puzi berkata, operasi mencari dan menyelamat dua lagi lelaki yang dilapor hilang itu masih diteruskan, melibatkan 35 anggota termasuk pegawai dari balai bomba dan penyelamat Wilayah Persekutuan serta sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dari Sentul. – Bernama