IPOH – Mayat seorang lelaki ditemui terbaring di atas jalan dengan kesan kecederaan di beberapa anggota badan di Km5 Jalan Chemor-Tanjung Rambutan awal hari ini.
Mayat A. Dave Raj, 25, dengan kesan kecederaan di muka, kepala dan badan ditemui oleh orang ramai pada pukul 2 pagi.
Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, polis menemui topi keledar berhampiran mayat lelaki itu, tetapi tiada motosikal ditemui di kawasan kejadian.
Berdasarkan kad pengenalannya, lelaki itu dari No 17 Jalan 10/2 Taman Cheras Jaya, Batu 11, Balakong, Selangor, katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, polis kini menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital untuk mengetahui punca sebenar kematian lelaki itu sama ada terdapat unsur jenayah atau disebabkan kemalangan jalan raya. – Bernama