Polis sedang memburu seorang penunggang motosikal yang merempuh anggota polis trafik dalam satu sekatan jalan raya ketika Ops Samseng Jalanan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini awal pagi Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, dalam kejadian pukul 3 pagi itu, penunggang terbabit enggan menghentikan motosikalnya meskipun diarahkan berbuat demikian.
"Bagaimanapun selepas melanggar anggota terbabit, penunggang itu terus lari dan meninggalkan motosikalnya di tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Trafik Jalan Chamberlain, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah, Deputi Supritendan Wan Sharuddin Wan Omar.
Ahmad Termizi berkata, anggota polis terbabit bagaimanapun hanya mengalami kecederaan di tangan kanan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Dalam dua operasi berasingan melibatkan sekatan jalan raya di Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Hospital dan Jalan Sultan Azlan Shah itu, sebanyak 205 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.
Antaranya tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada nombor pendaftaran, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu sambil mengunakan telefon bimbit, mengubah suai ekzos, tidak melekatkan tanda P atau L dan tidak memiliki insurans.
Katanya, dalam sekatan bersepadu itu seramai 84 penunggang termasuk 14 pelajar sekolah menengah serta 17 penuntut institusi pengajian tinggi bersama motosikal masing-masing ditahan dan dibawa ke balai polis di sini untuk direkod keterangan.
"Sebanyak 42 motosikal ditinggalkan pemiliknya di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah di sini dan kesemuanya disita sebelum dituntut penunggang terlibat.
"Mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 40 tahun dan polis turut menahan empat lelaki berusia 17 hingga 24 tahun yang didapati positif dadah," katanya.