Khamis, 24 Mei 2012

Bapa mengamuk tikam anak


Image Detail
Gambar hiasan 

Hanya kerana diminta mengalihkan kereta, seorang bapa tiba-tiba 'naik angin' sebelum menikam anaknya sendiri menggunakan pisau di rumah mereka di Taman Dahlia, Tampoi di sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 10.33 malam ketika mangsa, Muhammad Afiq, 22, meminta bapanya yang berusia 48 tahun mengalihkan kereta Perodua Alza yang diletakkan berhampiran tempat letak kereta jirannya.

Perbalahan antara dua beranak itu kemudian berlarutan di dalam rumah sebelum suspek dipercayai mengambil pisau di dapur dan menikam belakang pinggang anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu berjaya ditahan tidak lama kemudian.

"Suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan dan memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Dia kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ruslan, mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah dan keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Ibrahim Hassan, 50, berkata, dia yang ketika itu berada dalam bilik keluar tidak lama selepas kejadian itu dan mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Ibrahim berkata, dia bersama ibunya, Khadijah Mohamed, 68, suspek dan anak saudaranya itu tinggal bersama sejak 30 tahun lalu.

Menurutnya, suspek juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 25 tahun namun wanita itu tinggal dengan bekas isterinya selepas berpisah sejak 20 tahun lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...