Sebelum ini pemberi pinjaman wang haram atau ah long hanya merosakkan atau menyimbah cat merah ke atas premis, kediaman dan kenderaan peminjam yang gagal melunaskan hutang.
Namun, sejak akhir-akhir ini kumpulan ah long semakin melampau dan kejam apabila sanggup membakar rumah dan premis tanpa menghiraukan nyawa orang yang tidak bersalah.
Dalam kes terbaru kelmarin, dua beranak nyaris maut selepas kumpulan ah long melontar bom molotov cocktail di hadapan pintu rumah mereka di Taman Sentosa, Klang.
Hwa Cheong berkata, jirannya terdengar bunyi letupan sebelum melihat api marak sebelum bertindak memadamkannya.
"Ah long tersebut bertindak demikian selepas abang ipar saya, Ng Lai Chuan, 36, meminjam wang daripada mereka tetapi meletakkan alamat rumah kami.
"Lai Chuan kini telah menghilangkan diri sejak Februari lalu bersama kakak saya, kami sendiri tidak tahu di mana mereka berada," katanya pada sidang akhbar Biro Pengaduan Awam MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Pada 19 Mei lalu, sekumpulan ah long cuba membakar seunit kondominium di Taman Maluri, Cheras di sini manakala sebuah kedai di Bukit Tinggi, Klang turut menerima nasib yang sama semalam.
Bagaimanapun, kedua-dua kejadian berkenaan disedari oleh jiran yang bertindak memadamkan api.
Sementera itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, perbuatan membakar premis atau kediaman itu dikesan cara terbaru digunakan kumpulan ah long untuk mengugut peminjam.
Ujarnya, kumpulan tersebut kini semakin kejam apabila sanggup membakar rumah orang yang tidak bersalah kerana ingin mengutip hutang.
"Dalam kejadian sebelum ini, tiada nyawa yang melayang kerana kebakaran disedari awal tetapi jika api lambat dikesan, sudah tentu ada orang yang menjadi mangsa.
"Tindakan ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa dan polis perlu bertindak tegas terhadap ah long," tegas beliau.