AMPANG: Seorang wanita bukan saja kerugian hampir RM5,000 malah turut cedera di tangan kiri akibat terkena parang ketika bergelut dengan lelaki yang memecah masuk rumahnya, di Pandan Indah, di sini pagi kelmarin.
Difahamkan, ketika kejadian, wanita berusia berusia 44 tahun itu bersendirian dan terkejut apabila melihat seorang lelaki memakai topi keledar bersembunyi di belakang pintu biliknya.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dikatakan baru saja selesai membuang air sebelum masuk ke biliknya.
“Takut dengan kehadiran lelaki itu, mangsa cuba mempertahankan diri menyebabkan berlaku pergelutan. Mangsa mengalami kecederaan di tangan kiri akibat terkena parang,” katanya.
Katanya, lelaki terbabit kemudian mengambil pula sebilah pisau dan meletakkan di leher mangsa serta memberi amaran supaya berdiam diri jika tidak mahu dicederakan lagi.
Menurutnya, sebaik mendapat barangan berharga dan wang tunai, lelaki itu melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan, mangsa mendapati selain barang kemas dan wang tunai, lelaki itu turut melarikan telefon bimbit dan beberapa kad bank miliknya,” katanya.
Mangsa yang mengalami kecederaan di tangan kiri dan leher menerima rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.