Gambar hiasan |
Lelaki bawa pistol pecut kereta
SHAH ALAM: Taktik seorang lelaki sengaja melengah-lengahkan pemeriksaan polis terhadap dirinya kerana bimbang ‘rahsia’ membawa sepucuk pistol bersama sembilan peluru terbongkar ketika diperiksa di Jalan Subang, di sini, 18 Ogos lalu.
Pistol jenis semiautomatik bersama tujuh peluru bersaiz sembilan milimeter (mm) itu ditemui dalam beg sandang milik suspek. Bagaimanapun, suspek memecut keretanya sebelum terbabas. Suspek ditahan petang kelmarin.
Sebelum kejadian, anggota unit kereta peronda (MPV) yang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak sebuah kereta Toyota yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan jam 2.45 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, curiga dengan kereta terbabit, anggota MPV berkenaan mengekori sebelum mengarahkan suspek berhenti.
“Ketika diperiksa, suspek dilihat mahu mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya menyebabkan anggota yang melakukan pemeriksaan merampas beg berkenaan.
“Melihat beg sandangnya dirampas dan bimbang ditahan polis, suspek masuk semula dalam kereta dan memecut ke arah jalan utama walaupun diarah berhenti,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.