NILAI- Mayat seorang wanita warga emas ditemui di dalam rumahnya di Lorong 3, Kampung Abdullah, Mantin dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Yusoff Awang berkata Siti Rohani Alias, 75, yang tinggal bersendirian, ditemui dalam keadaan terbaring di dalam rumahnya dengan kesan darah keluar dari hidung selain terdapat beberapa kesan calar di badannya.
Jiran Siti Rohani yang datang ke rumahnya kira-kira pukul 10.30 pagi mendapati mayat mangsa terbaring di dalam rumah, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
"Hasil pemeriksaan fizikal, doktor mendapati setakat ini tiada unsur jenayah. Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut, bagaimanapun punca kematian akan disahkan selepas bedah siasat dijalankan esok," katanya. -Bernama