Gambar Hiasan |
KUALA TERENGGANU - Seorang bayi perempuan yang sihat dan cukup sifat ditemui di hadapan sebuah kedai menjual surat khabar di Jalan Sultan Omar di sini hari ini.
Bayi yang dibalut dengan tuala berwarna biru dan hanya memakai lampin itu diletakkan dalam sebuah beg pakaian dan ditinggalkan di hadapan pintu kedai berkenaan.
Rozlan Shahril Hamzani, 31, yang menemui bayi itu ketika ingin memulakan perniagaan pada pukul 6 pagi berkata, beliau mendengar suara bayi menangis tetapi tidak menghiraukannya apabila bunyi tangisan itu hilang tidak lama kemudian.
Rozlan Shahril berkata, beliau kemudian memulakan kerja memasukkan sisipan surat khabar di perhentian bas sebelah kedai itu sebelum sekali lagi mendengar bunyi tangisan bayi.
"Masa itulah baru saya cuba periksa beg itu dan mendapati beg itu tidak ditutup...saya terkejut apabila nampak ada bayi dalam beg itu," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan.
"Doktor mengesahkan bayi itu sihat dan dipercayai dilahirkan beberapa hari yang lalu berdasarkan keadaan bayi itu," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA