Rabu, 22 Ogos 2012

Banglo ADUN digeledah perompak


KUCHING - Sekumpulan penjenayah bukan saja mencuri sejumlah barang berharga dan sebuah kereta Perodua Viva milik seorang ahli politik malah turut bersuka ria menghabiskan beberapa tin minuman soya selepas memecah masuk sebuah rumah banglo di Taman Matang Indah di sini semalam,
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi, kumpulan penjenayah terbabit memasuki rumah banglo dua tingkat milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol yang semasa kejadian dikatakan berada di Kampung Rajang, Sibu.
Kejadian pecah masuk itu disedari oleh pemandu Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak (BNBBC) itu, Khairul Amir Shahrir, 27, yang pergi untuk memeriksa rumah tersebut pada pukul 8 pagi.
Bagaimanapun, Khairul Amir terkejut mendapati rumah majikannya ada kesan umpil.
Sementara itu, Abdullah Saidol semasa dihubungi berkata, kejadian itu merupakan yang pertama berlaku sejak dia dan keluarga tinggal di situ lebih enam tahun lalu.
"Saya terkilan kerana banyak hasil kerja dan dokumen penting dalam komputer hilang bersama komputer tersebut," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut beliau, pencuri menggeledah bilik utama, bilik belajar, rak pakaian dan rak buku sebelum melarikan pelbagai barang berharga miliknya dan keluarga.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, penjenayah tersebut bukan setakat mencuri malah mereka juga dipercayai telah menghabiskan minuman soya di rumah mangsa.
Menurut beliau, pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui beberapa kesan cap jari penjenayah tetapi setakat ini belum ada tangkapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...