Rabu, 22 Ogos 2012

Siasat pendedahan Raja Petra


KUALA LUMPUR 21 Ogos - Peguam Negara dan pihak polis digesa menyiasat peguam Razak Baginda, M. Puravalen dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa berhubung dakwaan komplot memfitnah Perdana Menteri seperti yang didedahkan pengendali portal pro pembangkang, Raja Petra Kamarudin baru-baru ini.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim berkata, tindakan itu wajar diambil bagi menjernihkan keadaan serta fitnah yang dilontarkan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 Julai 2008.

Katanya, kebenaran berhubung siapa yang terlibat dengan komplot tersebut perlu ditegakkan dan pihak terbabit wajar dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

"Dalam Perlembagaan negara juga jelas berdasarkan Perkara 8 yang memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Jadi, saya mendesak pihak Peguam Negara dan polis segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap dua individu tersebut berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra.

"Selain itu, kami juga mahu tahu siapakah yang mengetuai komplot tersebut, adakah Puravalen, Sivarasa atau ada personaliti ketiga di sebaliknya? Kami juga ingin bertanya dan mengetahui apakah peranan Puravalen hanya sebagai perkakas yang diperalatkan oleh orang tertentu dengan tujuan tertentu," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini Raja Petra menerusi portal malaysia-today.net mendedahkan mengenai perancangan menghasilkan akuan bersumpah penyiasat persendirian, Balasubramaniam yang menuduh Perdana Menteri terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibu yang didakwa melibatkan beberapa pemimpin pembangkang dan Puravalen.

Ruslan turut mencabar Puravalen supaya tampil membuat pendedahan berhubung personaliti yang telah memberikannya maklumat rahsia berhubung penahanan Razak Baginda pada Oktober 2006.

"Kami juga mencabar Puravalen mendedahkan sama ada beliau tahu mengenai pelantikan Balasubramaniam sebagai penyiasat persendirian kepada Razak Baginda telah dirancang oleh pihak ketiga.

"Kami ingin menasihatkan Puravelan supaya berpegang kepada prinsip 'katakanlah kebenaran meskipun pahit untuk didengari'," jelasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...