JOHOR BAHRU – Selepas Pelabuhan Klang di Selangor dan Pelabuhan Kuala Linggi di Negeri Sembilan, sindiket penyeludupan manusia ke negara ketiga melalui Malaysia kini beralih angin dengan memilih Pengerang dan Tanjung Sedili dekat sini sebagai transit terbaharu mereka.
Ketika merungkai taktik terbaharu itu, Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, perubahan strategi itu terpaksa dilakukan oleh sindiket terbabit memandangkan lokasi tradisi iaitu di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuala Linggi kini dianggap tidak selamat lagi.
“Pada awal tahun ini, kami melihat taktik mereka sudah bergerak ke sekitar wilayah Selatan berdasarkan tangkapan dan kes mati lemas yang berlaku di sana,” katanya.
Pada tahun 2011, sebanyak 32 mangsa lemas dilaporkan sementara setakat Ogos tahun ini, sebanyak 13 warga asing terkorban.
Adon memberitahu, lazimnya sindiket akan menjadikan cuaca buruk di perairan yang dilalui untuk menggerakkan aktiviti pemerdagangan orang.
“Apabila cuaca tak elok, mereka akan lari daripada pengesan radar kita untuk ke negara jiran dan biasanya jika hujan, bot-bot kecil tak akan berada di perairan sepanjang masa.
“Dari situ, mereka akan ambil kesempatan dan terjadilah kapal karam dan lemas,” jelasnya.