Jumaat, 10 Ogos 2012

Curi kabel: Telekom rugi RM4 juta

Gambar hiasan

ALOR SETAR - Telekom Malaysia (TM) mengalami kerugian hampir RM4 juta sepanjang Januari hingga Julai tahun ini, akibat kecurian kabel milik syarikat telekomunikasi itu di Perlis dan Kedah.
Pengurus Besar TM Kedah/Perlis, Noor Lela Baba berkata sepanjang tempoh itu lebih 800 kes direkodkan dengan sebanyak 167 kes direkodkan sepanjang bulan Julai sahaja.
"Kes kecurian meningkat sejak Julai tahun ini mungkin disebabkan musim perayaan," katanya kepada pemberita pada program Bubur Lambuk Ihya Ramadan TM, di sini hari ini.
Noor Lela berkata pihak TM telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah ini antaranya yang terbaru memasang alat pengesan kecurian kabel.
"Isyarat kecurian akan diterima terus di ibu sawat TM sejurus selepas wayar kabel itu dipotong," katanya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan kes kecurian kabel kepada pihak TM di talian 04-7202999 yang beroperasi 24 jam.
"Pihak kami juga menyediakan ganjaran kepada sesiapa yang memberi laporan tentang kes kecurian kabel" katanya. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...