Gambar hiasan |
PENDANG - Sepasang suami isteri di Taman Seri Puteh Fasa Dua dekat Jalan Jenun di sini kerugian RM4,000 apabila barang kemas termasuk wang syiling simpanan anak lesap dalam kejadian pecah masuk rumah mereka, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari itu mangsa, Izat Zakaria, 26, dan isterinya, Azlina Jaafar, 28, tiada di rumah dan hanya menyedari kejadian itu selepas mereka pulang berehat tengah hari di rumah kira-kira sejam selepas kejadian itu.
Izat berkata, dia terkejut setelah tiba di rumah mendapati pintu gelongsor bersama pagar besi rumahnya terbuka serta terdapat kesan bakar pada besi pagar yang dipatahkan.
“Sampai di rumah, saya dapati pagar ditutup tetapi jeriji pintu rumah terbuka menyebabkan saya bergegas masuk melihat keadaan rumah lalu mendapati bilik tidur utama digeledah sehingga pakaian berselerak di lantai.
“Barang kemas bernilai RM3,500 bersama wang syiling simpanan anak berjumlah RM500 diletakkan dalam almari bilik itu turut lesap, manakala dua bilik lain tidak digeledah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.
“Jiran maklumkan dia keluar untuk ambil anak sekolah mendapati lelaki bertubuh tinggi, kulit cerah, rambut pacak, memakai seluar jean bersama baju T dan berselipar itu keluar dari rumah saya lalu menutup pintu pagar.
“Selepas menutup pagar, rumah lelaki itu dikatakan masuk ke kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu yang di parkir di hadapan rumah menyebabkan jiran menyangka lelaki itu adalah rakan saya setelah melihat kereta saya juga berada di luar rumah, sedangkan saya pergi kerja menunggang motosikal,” katanya.
Izat berkata, dia dan isterinya dalam perancangan menyimpan wang tabung anaknya itu di bank memandangkan ia telah penuh hasil tabungan selama setahun.
“Saya sudah berbincang dengan isteri untuk simpan wang itu, tetapi sibuk dengan kerja menyebabkan kami menangguhkan niat itu dulu, namun tidak sangka wang tabung itu turut dikebas.
“Selain itu, sebelum ini isteri selalu simpan barang kemas dalam beg tangan, namun bimbang kejadian ragut berlaku lima tahun lalu berulang, dia ambil keputusan menyimpan di rumah namun hakikatnya tidak selamat,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka kerana beberapa hari sebelum kejadian dia dan isterinya sentiasa berbual berkaitan kes pecah rumah yang sentiasa berlaku menjelang Ramadan serta masing-masing berpesan untuk lebih berhati-hati.
Sementara itu, Izat berkata, dia difahamkan kawasan di sini kerap berlaku kes pecah rumah dan berharap polis dapat selalu melakukan rondaan terutamanya pada musim perayaan ketika ramai pulang beraya di kampung.