Jumaat, 10 Ogos 2012

Pegawai Polis Dipenjara Lima Tahun, Denda RM20,000 Terima Rasuah RM4,000



SHAH ALAM, 9 Ogos (Bernama) -- Seorang pegawai polis berpangkat ASP dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas didapati bersalah menerima rasuah RM4,000 bagi meringankan pertuduhan terhadap seorang wanita yang ditahan kerana memiliki dadah, dua tahun lepas.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhi hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

ASP Azmi Abdullah, 54, yang kini digantung tugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang juga boleh dipenjarakan 10 bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Mat Ghani bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi mengarahkan Azmi membayar denda itu.

Beliau turut mengekalkan wang jaminan RM8,000 yang ditetapkan sebelum ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...