Selasa, 14 Ogos 2012

Polis kenal pasti penyamun

Lai Yong Heng
Lai (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim, menunjukkan wajah suspek kepada wartawan.

PASIR MAS – Seorang kerani tidak menyangka tindakannya untuk membantu seorang lelaki yang berlumuran darah membawa padah apabila menyebabkan dirinya disamun, semalam.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Noor, 27 berkata, dia memberhentikan kereta setelah ternampak seorang lelaki dalam keadaan kesakitan.
Menurutnya, dia yang dalam perjalanan pulang ke Tendong selepas menghantar isterinya di Panji beranggapan, lelaki tersebut terlibat dalam kemalangan, kerana terdapat sebuah motosikal yang terbalik, berdekatan suspek.
Pada masa yang sama katanya, terdapat dua lelaki yang tidak dikenali sedang memerhatikan gerak-gerinya dan lelaki berkenaan.
“Suspek lalu letakkan parang di leher dan menyuruh saya memecut lalu meninggalkan dua lelaki itu. Sejurus tiba di bandar Pasir Mas, saya cuba larikan diri dengan membuka pintu kereta, tapi gagal kerana suspek sedari tindakan saya itu,” katanya, semalam.
Disebabkan itu katanya, suspek menumbuknya di pinggang sehingga menyebabkan dia tidak mampu untuk bertindak.
Noor berkata, suspek lalu tinggalkannya di Kampung Beta Hulu, selepas ambil telefon bimbit, cincin dan wang RM500 yang akan digunakan Aidilfitri di dalam dompet.
Menurutnya, dia turut mengalami kerugian RM45,000 selepas kereta Perodua Viva miliknya dilarikan penyamun tersebut.
“Saya terus minta bantuan penduduk kampung untuk ke balai polis kemudian membuat laporan berhubung kejadian yang menimpa,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek.
Menurutnya, suspek dikenali sebagai Dillah atau Ubaidillah Abd Mutalib, berasal dari Kampung Sireh Bawah Lembah, Kota Bharu.
“Kejadian bermula apabila suspek bersama seorang lagi rakannya, meragut gelang tangan seorang peniaga kedai runcit di Kampung Kenak, Bunut Susu, Pasir Mas pada jam 2.30 petang.
“Penduduk menyedari kejadian itu dan mengejar mereka, dan berjaya menahan rakannya,” katanya, semalam.
Beliau berkata, Ubaidillah melarikan diri dengan mengguna Proton Persona namun, kereta yang dinaiki terbabas, lalu menggertak pemilik kenderaan tersebut.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu, suspek sekali lagi mencuri motosikal Yamaha untuk melarikan diri, sebelum menyamun seorang lagi mangsa yang memandu Perodua Viva di Jambatan Sultan Ismail Petra.
Orang ramai yang maklumat supaya menghubungi balai polis terdekat atau bilik gerakan Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...