Chen Ming menunjukkan pintu belakang rumahnya yang diumpil pencuri. |
KUANTAN – Sepasang suami isteri di Kampung Tengah dekat sini masih trauma dan buntu selepas rumah mereka dimasuki pencuri menyebabkan kerugian kira-kira RM20,000.
Thong Chen Ming, 38 dan isteri, Teo Lee Ping, 34 kehilangan beberapa barang penting kesayangan mereka termasuk cincin perkahwinan dan beberapa barang kemas, lima komputer riba, jam tangan serta lima telefon bimbit.
Chen Ming berkata, kejadian disedari berlaku ketika dia pulang ke rumah pada jam 1.50 tengah hari untuk mengambil barang dan mendapati pintu rumah termasuk pagar terbuka.
Ketika menanti isterinya pulang, Chen Ming berkata, dia memeriksa kawasan rumah dan mendapati pintu depan rumah rosak manakala pintu belakang juga terbuka sekali gus mengesyaki pencuri terbabit keluar melalui pintu belakang.
Dia mengesyaki pencuri terbabit mungkin menggunakan besi untuk mengumpil pintu depan dan belakang rumah kerana terdapat kesan bengkok dan rosak teruk pada bahagian selaknya.
Tidak berpuas hati dengan situasi rumah, dia cuba memeriksa di bahagian tingkat atas dan mendapati semua empat bilik diselongkar dan pembantu rumahnya turut kehilangan wang tunai sebanyak RM300.
Sementara itu, Lee Ping berkata, beberapa hari sebelum kejadian, dia mendengar ada bunyi loceng rumah.
“Mungkin mereka cuba memeriksa sama ada rumah kami ada penghuni atau tidak sebelum bertindak kerana sebelah kiri rumah tidak berpenghuni dan memudahkan mereka mencuri,” katanya.
Bagaimanapun, Lee Ping mengesyaki pencuri terbabit sudah mengenal pasti rumahnya dan berani bertindak selepas kematian anjingnya dua hari sebelum kejadian.
Pasangan suami isteri itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan kira-kira jam 2 petang pada hari kejadian dan bercadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera bunyi bagi mengelakkan kejadian kali kedua berlaku.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Hong Seong melawat pasangan keluarga mangsa curi itu menasihatkan orang ramai supaya memasang lebih berhati-hati dengan kejadian itu terutama ketika musim perayaan.
Katanya, langkah paling baik ialah menghubungi polis untuk melakukan rondaan dan memasang CCTV bagi memudahkan siasatan.