Selasa, 14 Ogos 2012

Tukang jahit ditembak meninggal dunia


Tukang jahit ditembak meninggal dunia
KULIM - Setelah menerima rawatan kecemasan hampir tiga minggu, seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang merupakan pengusaha kedai jahit di pekan Kulim yang ditembak ketika disamun  meninggal dunia kira-kira jam 9.45 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kulim, semalam.

Mangsa sebelum ini mengalami kecederaan parah di bahagian perut setelah ditembak oleh lelaki tidak dikenalinya 3 Ogos lalu.

Terdahulu, dalam kenyataan Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh di akhbar ini  4 Ogos lalu, beliau  berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada berseorangan di dalam kedai setelah isteri dan cucunya keluar makan kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, mangsa didatangi tiga lelaki sebelum memaksa mangsa menyerahkan wang, namun dia enggan berbuat demikian sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati kalangan suspek.

Ghuzlan berkata, sebelum meninggalkan kedai mangsa, suspek telah melepaskan satu tembakan ke arahnya.

“Polis percaya suspek menggunakan senjata buatan sendiri dan peluru penabur. Mangsa ketika diselamatkan di tempat kejadian berada dalam keadaan stabil sehingga mendapat rawatan kecema-san di Hospital Kulim.

 "Mangsa dipindahkan ICU untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun kesihatan mangsa menjadi tidak menentu dan berubah menjadi serius sehingga mengakibatkan kematiannya.

Ghuzlan berkata, itu merupakan kejadian pertama di Kulim dimana mangsa ditembak dalam kejadian samun.

Menurutnya kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Sehingga kini polis sedang memburu suspek terlibat dan percaya mereka yang bertanggungjawab dapat ditahan dalam sedikit masa lagi," katanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...