Gambar hiasan |
KOTA BAHARU, 13 Ogos
(Bernama) -- Dua suspek dan tiga anggota polis, termasuk pemandu, terselamat
apabila van polis yang dinaiki mereka tiba-tiba terbakar ketika berhenti di
simpang empat lampu isyarat berhadapan Hospital Universiti Sains Malaysia
(HUSM) Kubang Kerian di sini, Ahad.
Ketika kejadian pada kira-kira 4 petang, van itu dikatakan sedang membawa
kedua-dua suspek dan sebuah motosikal yang dipercayai barang kes dari Besut,
Terengganu ke lokap Balai Polis Kota Baharu di sini.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Wan Asri Wan Yusoff
ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.06 petang
tetapi ketika beliau dan lima anggotanya tiba di tempat kejadian, enjin van
telahpun hangus.
Katanya kejadian berlaku berhampiran pusat beli-belah dan tempat tumpuan umum
yang agak sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang membeli-belah sempena musim
perayaan Aidilfitri.