Sabtu, 15 September 2012

Bapa dakwa anak parah dipukul, dibuang sekolah tanpa sebab


Bapa dakwa anak parah dipukul, dibuang sekolah tanpa sebab
KUALA TERENGGANU - Seorang bapa mendakwa anak lelakinya menjadi mangsa dera, buli dan pukul oleh beberapa pelajar asrama dalam satu kejadian 13 Julai lalu di sebuah sekolah, dekat sini.

Bapa pelajar terbabit, Ghazali Mat Min, 50, mendakwa, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, anaknya, Muhammad Nor Aiman, 16, bukan sahaja cedera parah, tetapi dibuang sekolah pada 2 Ogos 'tanpa sebab musabab'.

Ghazali berkata, demi memperjuangkan nasib anaknya, dia meminta Jabatan Pendidikan Negeri menjalankan siasatan terhadap sekolah terbabit.

Dia mendakwa sepanjang bulan lalu sahaja, seramai 14 pelajar sudah dibuang sekolah, sedangkan mereka sepatutnya diberi peluang kedua sebelum tindakan tegas dikenakan.

Katanya sejurus mendapat tahu anaknya dibuang sekolah, saya terus berjumpa pihak sekolah untuk membuat rayuan supaya anak saya diterima kembali belajar di situ memandangkan tahun depan dia akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun malangnya tidak diterima.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku. Mengapa anak saya yang menjadi mangsa dibuang sekolah sedangkan beberapa pelajar yang memukul dan mendera anak saya tidak dikenakan apa-apa tindakan, walaupun pelajar itu sendiri membuat pengakuan bersalah di depan saya dan warden bertugas,” dakwanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Gong Badak, di sini, semalam.

Ghazali, seorang peniaga, telah mengambil keputusan membuat laporan polis bagi meminta penyiasatan segera dilakukan berhubung kejadian menimpa anaknya itu dan mahu nasib anaknya
dibela.

“Saya terpaksa mengambil keputusan ini walaupun sudah bersetuju sebelum ini agar tidak melaporkan kepada polis dengan harapan pihak sekolah dapat menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pelajar terbabit.

“Sebelum ini saya sudah memberi ruang dan masa kepada pihak sekolah supaya menjalankan siasatan dalaman secara terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya, namun sehingga hari ini, senyap sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Ghazali turut meluahkan rasa kecewa dan kesalnya kerana mendakwa warden bertugas hanya memberitahu kejadian menimpa anak sulungnya itu 16 jam selepas kejadian.

“Pihak sekolah atau warden langsung tidak memaklumkan kejadian hinggalah saya ke sekolah untuk mengambilnya. Ketika itu anak saya dalam keadaan lemah. Saya terus membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Macam-macam boleh berlaku dalam tempoh itu malah boleh mengakibatkan kematian jika lewat mendapatkan rawatan,” dakwanya lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...