Sabtu, 15 September 2012

Wang gaji kena rompak

Gambar hiasan

IPOH – Empat pekerja warga Bangladesh diserang sekumpulan perompak setelah menerima wang gaji dari majikan berhampiran Perindustrian Silibin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa diserang enam lelaki bersenjatakan botol pecah, topi keledar dan kayu ketika dalam perjalanan pulang ke asrama penginapan berhampiran kilang.

Mangsa, Mohamad Salman, 33, berkata, mereka melalui jalan pintas dikepung kumpulan lelaki berkenaan sebelum diminta menyerah semua barang berharga.

“Mereka memaksa kami menyerahkan wang, jam tangan serta telefon bimbit. Usaha menipu kumpulan itu tidak berjaya apabila kami diugut mahu memukul sehingga mati.

“Seorang rakan saya dilibas dengan botol kaca itu hingga cedera di bahagian leher serta kaki. Mereka turut merampas pasport kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan mengesahkan menerima laporan itu serta menasihatkan majikan berhati-hati mengeluarkan wang untuk membayar gaji pekerja.

Menurutnya, polis sedia bekerjasama atau memberi nasihat berhubung pendekatan keselamatan yang perlu diambil bagi mengelak kejadian sama berulang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...