Abidin (kanan) dan Musa (dua, kiri) menunjukkan laporan polis dan dokumen pembelian tanah palsu oleh sindiket jual tanah. |
ALOR SETAR - Hampir 10 pembeli mengalami kerugian ribuan ringgit setelah menjadi mangsa penipuan sindiket jual tanah di sekitar Kedah sejak beberapa tahun lalu.
Mangsa sindiket, Musa Abdullah, 74, berkata, dia tidak menyangka akan ditipu oleh sindiket ini kerana orang tersebut adalah kenalan rapatnya sejak dulu.
Katanya, ahli sindiket ini bijak berkata-kata dan pandai meyakinkan pembeli untuk membeli tanah yang ditawarkan dengan beberapa bukti dokumen pembelian.
“Setelah berpuas hati dengan lawatan dan dokumen geran yang diberikan, tanpa berfikir panjang saya terus bayar kepadanya RM60,000,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, katanya, tanah yang ditawarkan adalah bukan di tempat tersebut, sebaliknya di kawasan lain. Malahan pula, penama penjual tanah asal dalam dokumen tersebut juga adalah palsu.
“Saya mula sedar ditipu setelah proses penukaran nama di pejabat tanah ditolak kerana mendakwa dokumen yang diberikan adalah palsu.
“Tidak puas hati dengan penipuan ini, saya meminta ejen tanah itu supaya pulangkan wang tersebut kerana pembelian itu tidak sah. Bagaimanapun, dia enggan berbuat demikian.
“Atas faktor keselamatan, saya membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar. Namun tiada sebarang tindakan dan siasatan dikenakan terhadap dia sehingga hari ini,” katanya.
Sementara itu, Abidin Ahmad, 38, berkata, dia didatangi kenalan rapatnya itu pada 3 Ogos lalu di rumahnya yang terletak di Taman Hidayah, Jalan Langgar, di sini untuk mengambil wang pendahuluan pembelian tanah dengan harga RM10,000.
Katanya, selang beberapa hari kemudian, dia pergi ke pejabat tanah untuk membuat semakan status pembelian tanah tersebut. Namun, jawapan yang diberikan oleh pejabat tanah bahawa semua dokumen yang diberikan oleh ejen itu adalah palsu.
“Tidak berpuas hati dengan penipuan ini, saya membuat laporan di IPD Kota Setar untuk tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Abidin berkata, lebih memeranjatkan apabila penama dokumen yang tertera pada geran tanah tersebut adalah seorang lelaki yang telah meninggal dunia pada 30 April 1986, namun masih terdapat tandatangannya pada surat pembelian yang bertarikh 21 Mac 2012.
Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar turut mengesahkan menerima laporan berhubung isu penipuan pembelian tanah daripada hampir 10 orang. Menurut jurucakap polis, kes tersebut masih dalam siasatan